Sunday, 23 March 2014

JPN Sabah Sedia Dua Sekolah Pendidikan Khas

http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1020434&cat=sbm 
KOTA KINABALU, 9 Mac (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah menyediakan dua buah sekolah pendidikan khas dan 70 program pendidikan khas integrasi di sekolah rendah dan 52 program di sekolah menengah di seluruh Sabah setakat ini.

Pengarah JPN Sabah Datuk Jame Alip berkata penyediaan sekolah-sekolah itu bagi memenuhi keperluan pendidikan murid-murid berkeperluan khas terutama bagi aliran murid bermasalah penglihatan dan pendengaran.

"Saya percaya apabila semua pihak sama ada pengetua, guru besar, guru, pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah atau JPN Sabah, ibu bapa, masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat bersatu tenaga dan berganding bahu, matlamat kita untuk 'Memasyarakatkan Murid Berkeperluan Khas' selaras dengan Aspirasi Satu Agenda Satu Impian, JPN Sabah akan menjadi realiti," katanya.

Beliau berucap pada Malam Gala Pendidikan Khas 2014 yang disempurnakan isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah RM Jasni dan dihadiri isteri Ketua Menteri Sabah Datin Seri Faridah Tussin, di Dewan Hongkod Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Penampang, di sini malam tadi.

Beliau berkata murid berkeperluan khas di Sabah turut melakar kejayaan di peringkat antarabangsa seperti atlet murid berkeperluan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah, Sandakan yang membawa pulang lapan pingat emas, lima perak dan lima gangsa di Kejohanan Sukan Khas Olimpik Asia Pasifik di Newscastle, Australia pada 28 Nov hingga 7 Dis tahun lepas.

"Dalam bidang akademik, murid berkeperluan khas juga tidak ketinggalan dengan murid aliran perdana sebagai contoh, adik Nor Aishahtul Radiah Ali Dania, bekas pelajar SMK Badin, Tuaran sekrang ini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya.

Menurutnya, Malam Gala Pendidikan Khas yang diadakan julung kali bertujuan untuk mewujudkan peluang dan ruang yang lebih luas kepada murid-murid berkeperluan khas menampilkan bakat serta kebolehan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment